Harapan City untuk mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris kian pudar selepas tewas 2-1 kepada Crystal Palace di Selhurst Park.
Jaringan gol Glenn Murray dan Jason Puncheon membenamkan pasukan pelawat dengan gol Yaya Toure lewat perlawanan hanyalah ternyata satu saguhati.
City kini ditinggalkan pendahulu liga, Chelsea dengan sembilan mata dan satu perlawanan masih di tangan yang memerlukan keajaiban untuk pasukan kendalian Manuel Pellegrini mengejarnya.
Pasukan bimbingan Alan Pardew mendahului perlawanan di minit ke-34 selepas menyaksikan penguasaan posesi bola oleh City. Murray menyepak masuk dari jarak dekat selepas cubaan awal Scott Dann sedikit tersasar, meskipun kedua-duanya disangsikan sebagai ofsaid.
Sekembali di babak kedua, Fernandinho menjatuhkan Murray yang membawa kepada sepakan percuma yang disempurnakan dengan kemas oleh Puncheon pada minit ke-48.
Sejurus selepas itu, sekali lagi insiden penalti berlaku apabila tangan Murray dengan jelas terkena bola semasa di kotak penalti namun ditidakkan oleh pengadil perlawanan, Michael Oliver.
Permainan sedikit berubah rentak sebaik sahaja Samir Nasri diturunkan bagi menggantikan Fernandinho yang kemudiannya menghantar bola untuk disudahi Yaya dengan cantik pada minit ke-77.
Beberapa cubaan Nasri serta Yaya selepas itu untuk mencari gol penyamaan gagal ditemui apabila kesemuanya berjaya diselamatkan Speroni atau gagal mengena sasaran untuk membawa kedudukan tamat 2-1.
Tumpuan City kini kepada perlawanan derbi menentang Manchester United di Old Trafford pada hari Ahad, 12 April ini untuk mengatasi the Reds yang kini satu mata di hadapan City di tangga ketiga.
EmoticonEmoticon