LONDON - Pengurus Manchester City, Manuel Pellegrini menegaskan, dia tidak gembira dengan prestasi baik yang ditunjukkan Manchester United sejak akhir-akhir ini menjelang pertemuan kedua-dua pasukan dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, hari ini.
Malah, lima kemenangan berturut-turut yang dicatat anak-anak buah Louis van Gaal membolehkan mereka melonjak ke tangga ketiga liga dengan 62 mata, satu mata mengatasi City, yang hampir pasti boleh melupakan hajat untuk mempertahankan kejuaraan liga.
“Saya langsung tidak gembira. Saya rasa, Louis van Gaal mempunyai sejarah sebagai seorang pengurus yang gemar menggunakan taktikal menyerang.
“Saya hairan mengapa dia tidak berbuat demikian sejak awal musim, tetapi ia bukan sesuatu yang mengejutkan apabila dia menggunakan pendekatan itu sekarang dan meletakkan Manchester United pada kedudukan baik ketika ini.
“Mereka membawa masuk ramai pemain yang bagus seperti Angel di Maria, Radamel Falcao, Ander Herrera, Juan Mata dan Daley Blind,” kata Pellegrini.
Pada ketika United bakal turun bersama keyakinan tinggi, City sebaliknya masih dibayangi kekalahan mengejut 2-1 kepada Crystal Palace, Selasa lalu.
Skuad The Citizens kalah lima daripada tujuh perlawanan terakhir dalam semua pertandingan, malah tidak pernah menang di tempat lawan sejak pertengahan Februari lalu.
Mereka juga ditinggalkan oleh pendahulu liga, Chelsea dengan sembilan mata ketika saingan berbaki tujuh perlawanan.
“Saya tidak takut hilang pekerjaan, saya cuma bimbang pasukan tidak mempunyai motivasi untuk mengharungi baki liga. Saya percaya, motivasi terbaik buat kami adalah memenangi perlawanan, apatah lagi jika lawan yang dikalahkan adalah Manchester United,” ujarnya lagi.
Sementara itu, keyakinan Van Gaal untuk menumpaskan jiran mereka hari ini cukup tinggi, malah pengendali dari Belanda itu masih memasang hasrat untuk sekurang-kurangnya memintas Arsenal yang kini berada pada kedudukan kedua dengan perbezaan satu mata.
“Saya mengimpikannnya (kemenangan). Setiap pemain juga harus mengimpikan kemenangan.
“Kami telah melakukan banyak analisis dan mengkaji bagaimana hendak menewaskan City.
“Kalau menang, kami hampir pasti menjamin kelompok empat terbaik dan sukar dipintas, malah tidak mustahil kami boleh baiki kedudukan,” kata Van Gaal.
Jika ada perkara yang perlu dibimbangkan City hari ini, faktor tersebut pastinya Wayne Rooney.
Kapten dan bintang penyerang United itu kini berada dalam prestasi terbaik sejak Van Gaal kembali meletakkannya di posisi penyerang tengah. Dia telah meledak 11 gol setakat ini.
City pula memerlukan kombinasi Sergio Aguero dan Edin Dzeko untuk membolosi gawang lawan.
Masalah kecederaan membataskan aksi Aguero yang sekadar meledak empat gol musim ini, manakala Dzeko dengan lima gol.
EmoticonEmoticon