LONDON – Ketua pasukan Manchester United, Wayne Rooney mengakui sudah tidak sabar untuk menambah derita Manchester City dalam perlawanan derby di Old Trafford esok.
Pertembungan itu bakal membuka peluang untuk penghuni tempat ketiga itu menjarakkan diri daripada penyandang juara City yang sekarang ini ketinggalan satu mata di belakang United.
Kedua-dua kelab Manchester itu bagaimanapun terlalu jauh ketinggalan dengan pendahulu Chelsea untuk mempunyai peluang merangkul gelaran juara Liga Perdana Inggeris, namun mereka berusaha mengukuhkan kedudukan dalam kelompok empat teratas untuk ke saingan Liga Juara-juara.
Penyerang skuad Red Devils, Rooney, 29, kini merupakan penjaring terbanyak bagi pertembungan derby itu dengan 11 gol sejak tiba di Old Trafford dari Everton pada 2004.
City bagaimanapun mempunyai kelebihan sejak kebelakangan ini apabila memenangi empat perlawanan terakhir ketika menentang United, manakala Rooney terdesak untuk menamatkan badi itu.
“Anda bermain untuk Manchester United, anda perlu menang dalam perlawanan derby.
“Kami mahu memberikan sesuatu yang membuatkan penyokong United tersenyum apabila mereka pergi kerja Isnin nanti,” kata Rooney.
Pemain berpengalaman City, Pablo Zabaleta yang telah melalui pelbagai ragam dalam pertembungan derby berkata, kemenangan ke atas United akan memberi keputusan yang paling berharga kepada pasukannya.
Pemain pertahanan Argentina itu percaya, kemenangan di Old Trafford merupakan syarat minimum yang bukan sahaja boleh dibanggakan, malah membuka laluan untuk mereka menghuni kedudukan teratas semampu mungkin.
Tewas kepada Crystal Palace pada Isnin lalu bermakna, harapan penyandang juara itu untuk mempertahankan gelaran bergantung kepada prestasi Chelsea, tetapi bagi Zabaleta, City mesti mula memungut mata daripada perlawanan dengan United.
“Setiap perlawanan yang kami main sangat penting, namun aksi derby adalah yang terbesar bagi kami pada musim ini kerana perlawanan ini istimewa untuk pemain dan juga penyokong,” katanya. –
EmoticonEmoticon